Spiga

Surat Untuk Ayahanda NC-Gerakan Mahasiswa : Respon Ayahanda?




Assalamualaikum w.b.t.

Buat Ayahanda Dato’ Zaini. Maaf kiranya pesana ringkas dari saya ini sedikit sebanyak merencatkan tugasan Ayahanda.Lantaran Ayahanda seorang insan yang senantiasa berkejar untuk ‘mengimarahkan’ teratak UTM ini. Saya amat kagumi petah bicara, kelaku serta gaya tegas berprinsip Ayahanda dalam memimpin. Beruntung sekali warga bumi UTM berayahkan insan seperti Ayahanda. Bukan tujuan untuk memuji. Namun tersemat dalam hati mungkinkan suatu hari nanti saya juga terpanggil untuk menggantikan kerusi Ayahanda hari ini. Cita-cita menggunung saya semai baik-baik.

Rasanya begitu kerdil untuk saya lontarkan pandangan serta apatah lagi menyediakan cadangan serta gagasan idea. Namun realitinya saya berpijak dibumi yang nyata. Mahasiswa seperti saya adalah kelompok penuntut, mudah bicaranya sedang belajar. Kadang kala ada yang betul namun saya yakin masih banyak yang silap. Harap-harapnya cadangan yang kami (baca:mahasiswa) sampaikan ke telinga-telinga pentadbiran tidak dipekakkan begitu sahaja. Setidak-tidaknya simpankanlah sedikit ruang supaya idea serta pandangan kami ini dipandu agar berada di landasan yang tepat. Walau apa pun, saya amat berterima kasih buat pentadbiran yang ada pada hari ini, kerana masih mendengar kata bicara kami.

Ayahanda,

Sempat petang tadi saya khatamkan sebuah karya ringkas, padat isinya. Sekilas pandang dapat saya rasakan isi kandungan umpama tergesa-gesa mahu disampaikan pada mereka yang bergelar mahasiswa, namun coretan isi serta pandangan yang dikemukakan sememangnya cukup terkena pada batang hidung saya selaku aktivis gerakan mahasiswa. Buku kelima tulisan Saifuddin Abdullah (2009), Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini yang bertajuk “Kalau saya Mahasiswa” (http://issuu.com/saifuddinabdullah/docs/kalau_saya_mahasiswa) benar-benar membenakkan persoalan yang besar dalam diri saya.

Tatkala saya cuba menghabiskan isi buku ini, saya mula tercari-cari identiti sebenar saya. Saya begitu rasa tercabar bilamana ada perenggan yang berupa rayuan daripada penulis agar mahasiswa tidak lagi sepatutnya diperbudakkan. Konklusi yang dapat saya nyatakan di sini, bermakna setelah sekian lama AUKU pindaan 1975 dibentuk beerti mahasiswa diperbudakkan hidupnya.

Sekalipun ada ketegori-kategori mahasiswa yang sememangnya tidak beriman dengan AUKU ini yang melancarkan kegiatanyang bersifat advokasi (kenyataan media,demonstrasi,memorendum) sebaik sahaja AUKU digubal tanggal 1971, namun penjara minda yang berlarutan ini memberi kesan yang besar kepada sengatan mahasiswa dalam arena nasional.

Jelas penulis, sekalipun ada yang berpandangan AUKU digubal bagi mengawal mahasiswa daripada berpolitik menentang kerajaan namun persoalan pokok yang perlu kita ajukan adalah mengapa mahasiswa kerap kali menentang kerajaan? Saya amat bersetuju dengan kenyataan ini. Sekiranya pemerintah menjalankan amanah yang dipikul bertapakkan prinsip adil, telus dan saksama, apakah mungkin gelombang menjatuhkan kerajaan ini timbul?

Penulis mengupas panjang isu berkenaan AUKU dan sekitarnya. Pembacaan saya menyimpulkan, penulis lebih banyak menyerlahkan kesan buruk kewujudan AUKU berbanding kebaikannya. Saya sendiri tidak nafikan, di sana terselit beberapa cebis kebaikan sekalipun saya merupakan antara insan yang tidak beriman dengan AUKU, namun tidak ketara saya katakan bahawa AUKU juga mematikan kelompok bertindak generasi muda selaku pelapis kepada kepimpinan negara akan datang.

Bagi penulis, pantang sekali disebut mahasiswa selaku pemimpin masa depan, kerana baginya kampus telah membuka ruang untuk mahasiswa memimpin rakan sebaya atau lebih muda berbandingnya. Saya tidak ingin bersifat kontradik dengan penulis. Ya, memang benar kenyataan penulis itu, namun yang lebih penting perlu tumpuan kita berikan ialah, persiapan mahasiswa memimpin di kampus bukan hanya untuk mahasiswa tapi untuk masyarakat sivil (CSO). Sebab itu gerakan mahasiswa yang masih lagi bertali arus sehingga hari ini, walaupun taringnya tidaklah sengeri golongan terdahulu, namun perjuangan mereka bukan sahaja merentas soal kampus, malah kekal sebagai pressure group, check and balance kepada negara serta pengkritik bebas dalam soal politik dan menjadi pembela kepada hak rakyat yang tertindas.

Penglibatan mahasiswa dalam pertubuhan masyarakat amat-amat penulis alukan, hatta mahasiswa baginya sesuai untuk berpartisipasi tatkala berada di dalam kampus itu lagi. Pandangan ini lahir apabila melihatkan kepada kewajaran untuk tiga rukun perjuangan ini digerakkan. Idealisme, aktivisme dan intelektualisme dalam diri mahasiswa gagal untuk beroperasi sebaik mungkin sekiranya mahasiswa diperap sehingga basi dalam kerangka persatuan yang hanya berorientasikan ‘aktiviti’ yang diluluskan pihak HEP sahaja.

Harapan terakhirnya ketika mengulas berkenaan mahasiswa selaku sebahagian daripada masyarakat sivil atau madani, perlu mendalami serta memahami konsep penghakupayaan mahasiswa/masyarakat sivil disebabkan begitu banyak sekali kecelaruan dalam menghayatinya. Sekiranya penghayatan diterapkan kepada mahasiswa bahawa hakupaya tulen mahasiswa selaku rakan pembangunan masyarakat perlu diberi perhatian, saya yakin dan percaya akan mula membuka minda mereka dalam mencari identiti yang sebenar mengapa mereka digelar mahasiswa.

Mahasiswa akan sedar bahawa mereka BUKAN lagi pengusung buku ke hulu ke hilir, atau murid-murid yang mengejar waktu untuk ke kuliah,atau pulun memerah otak menjawab peperiksaan, walhal golongan ilmuan inilah yang akan cuba membudayakan ilmu yang tersemat di dada untuk merubah dimensi kehidupan masyarakat hari ini.

Namun realitasnya, mahasiswa hari ini hanya mampu menjadi pak angguk kepada kerajaan malah menyedihkan ada yang tidak sedar mereka mereka telah dilelong sebagai boneka yang tidak punya harga dan nilai. Realiti ini sebenarnya jawapan yang mudah bagi menjawab isu AUKU yang menanam hidup-hidup idealisme perjuangan mahasiswa bermula saat ia dicipta.

Cetusan Minda

Ada beberapa item ingin saya ajukan.

Pertama, jika benar kelesuan mahasiswa punca utama ketandusan kepimpinan negara yang berintegriti, apakan kandungan buku ini sesuai dijadikan panduan agar mahasiswa mula untuk berubah?

Kedua, sekiranya telah dibuka ruang supaya mahasiswa berfikiran secara holistik, mampu mengintepretasi isu semasa serta bertindak ke arah itu dalam PTPM yang dibangunkan, apakah mahasiswa juga sewajarnya dibuka ruang untuk mendalami ilmu ‘memimpin rakyat’ (baca : politik) agar tidak kekok apabila dicampakkan di tengah-tengah ketandusan kampung masyarakat.

Ketiga, sekiranya AUKU dilihat masih terus relevan dimata pemimpin kerajaan dan bukan di minda mahasiswa, saya bimbang dua jenis senario ngeri bakal berlaku. Satu, mahasiswa akan terus membeku karekternya dan hilang keintelektualnya akibat daya pimpin yang lemah lantaran trauma AUKU membaham diri. Dua, gelombang radikal yang cukup hebat bakal dicetuskan akibat perasaan marah benci yang membuak, serta kekuatan yang telah lama terkumpul tanpa disedari kehadirannya oleh pihak kerajaan. Umpama air sungai yang diempang, walaupun nampak tenang di kawasan yang diempang, namun siap sedialah untuk menerima banjir yang besar kiranya empangan itu pecah. Jadi, soalnya sampai bila AUKU mampu bertahan?

Segunung Harapan.

Perkongsian pandangan dan idea telah saya kemukakan. Seperti diawalnya tadi, jauh di sudut hati kecil saya, masih lagi bermain-main persoalan apakah layak saya insan yang kerdil ini menggagaskan suatu yang besar. Namun, saya begitu mengharapkan respon daripada Ayahanda sendiri berhubung isi kandungan buku ini serta komentar terhadap apa jua kenyataan yang saya utarakan. Andai sekiranya perlu dihasilkan gelombang perubahan, saya merasakan ini masa yang terbaik untuk kita mulakan.

Harapnya cetusan ini tidak dikategorikan kelompok kontroversi, namun saya harap Ayahanda mampu menilai secara ilmiah dan rasional. Akhir kalam, ribuan ampun dan maaf andai bicara saya terselit kekasaran dan hilang nilai sopan. Saya budak baru belajar. Kalau salah harap betulkan.

#Perkataan ’Penulis’ merujuk kepada Saifuddin Abdullah.

Mohd Amin Bin Mohd Hamami

Presiden

Persatuan Mahasiswa Islam

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan)

Universiti Teknologi Malaysia

“Cekal Besama Taqwa, Menara Cita-cita”



0 comments: