Lentur buluh dari rebungnya
Kenyataan biasa yang kerap singgah ditelinga.
Bagi sesetengah orang, ada yang menyatakan, “Kita tidak perlu sangat fikirkan sekolah anak-anak nih. Asalkan diorang dapat belajar sudah..”
Ada pula yang sanggup berkata, “ Budak-budak nih, skolah kat mana pun sama je, kalau dah budak tu, budak jugak..”. Pedih telinga.Tahan.
Bagi ibu bapa yang prihatin, mereka berkata, “ Anak-anak kecil perlu di asuh dengan didikan wahyu, barulah menjadi insan ilmu yang ada sifat ‘malu’. Akhlak bukan barang yang boleh dibeli. Ia perlu disemai, ditanam dan disiram..sebelum sifat akhlak yang manis kita pungut kelak”. Untungnya dapat ibu bapa yang sebegini. Terima kasih buat ayah dan bonda saya juga.
Beberapa kenyataan dipetik.
Sambutan terhadap Pasti begitu menggalakkan termasuk anak-anak bukan Islam dihantar belajar di kelas Pasti.
"Kita juga menubuhkan Pasti khusus untuk anak-anak orang bukan Islam seperti di Kuala Kangsar, Perak iaitu anak-anak orang India yang tinggal di ladang di negeri itu."
"Kami juga mewujudkan Pasti di Bagan Nakhoda Omar Kelang, Selangor di mana seramai 20 pelajar anak kaum Tionghua," katanya.
Manakala di Kelantan terdapat Pasti yang dibuka di kampung penduduk Siam.
Kata beliau Pasti membuka Pasti yang 'multiratio' bagi memberi pendidikan khusus kepada anak-anak di kawasan penduduk pelbagai kaum.
-Azrin Abd Majid-
Kenyataan yang didengar dan dipetik diulas. Sekalipun konklusinya mugkin berbeza dari sumber yang mengeluarkannya, bagi saya tidak mengapa.

PARENTING
Cukup tidak sesuai untuk saya yang memperkatakannya. Belum jadi bapa, belum ada anak, belum berkahwin, tapi sudah...
Tulisan saya meliputi apa yang saya lihat dan rasa. Menjamah sketsa kehidupan rakyat sehari-hari membolehkan kita menilai baik dan buruk. Itu pun sekiranya ilmu yang kita ada bersandarkan ilmu wahyu. Kalau dibandingkan dengan ayah, mungkin saya dianggap terlalu mentah untuk beremosi fasal ‘parenting’. Biarkan.
Sekitar pemerhatian saya, saya bertemu dengan pelbagai rupa ibu ayah. Maksud saya kerenah serta perangai mereka mendidik dan mengasuh anak. Sesetengah ibu bapa kadang-kadang memandang remeh soal didikan awal anak-anak. Ya, mungkin ada yang menyatakan anak-anak kecil masih terlalu muda. Tidak dapat berfikir banyak.
Namun ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak kecil adalah zaman ‘terima tanpa soal’ yang tinggi. Bermakna apa jua yang kita ajarkan kepada mereka, itulah juga yang akan mereka pamerkan. Kita bagi mereka bunga, mereka akan bagi kita bunga.
Tapi agak sedih dan malang, ada sesetengah ibu ayah yang mengabaikan tanggungjawab memberi yang terbaik buat anak mereka. Ah, cukuplah sekadar mereka boleh hidup. Saya merasa amat geram bila bertemu mak ayah yang sebegini.
Mujur juga ada masih ramai umi dan abi yang sedar akan perkara ini. Tidak cukup didikan serta asuhan di rumah, mereka mencari sistem didik yang lebih tersusun. Yang menanam ilmu akidah. Yang memberatkan soal akhlak. Yang mampu mendidik anak-anaknya menjadi insan yang rasa bertuhan. Wahai anak-anak bertuah. Ucapkanlah terima kasih pada umi dan abi adik-adik.

P.A.S.T.I
PUSAT ASUHAN TUNAS ISLAM
Saya bukanlah alumni PASTI. Apatah lagi menjadi kanak-kanak PASTI. Namun pada hemat serta pemerhatian saya pusat didikan ini hebat. Lain dari yang lain. Betul, memang banyak lagi pusat asuhan yang ada. Tapi PASTI berbeza. Nak tahu apa bezanya? Rasa sendiri.
Andaian saya ini rasanya tidak tersasar. Malah kena pada sasaran. Bilamana kenyataan di atas dikeluarkan. Rupa-rupanya PASTI bukan sahaja diminati oleh orang Islam, malah orang bukan Islam. Soalnya kenapa ya?
Kalau dalam bisnes, apa yang paling penting ialah produk. Kadang-kadang orang akan sanggup bergadai harta semata-mata menginginkan produk yang baik, kualiti. Itulah juga yang terjadi kepada produk-produk PASTI. Anak-anak yang dihantar ke sana hasilnya jauh berbeza. Mungkin kalau sikapnya yang buas dan nakal, itu biasa. Proaktif. Namun yang berbeza adalah isi budak tersebut.
Kadang-kadang saya kagum dengan adik-adik PASTI yang petah bicaranya. Laungan asma’ul husna menjadi pembasah bibir. Walaupun kadang-kadang telinga saya ini hampir pekak dibuatnya, terpaksa menahan kebingitan nasyid-nasyid yang dinyanyikan, namun hati saya gembira, bangga. Ada yang tidak segan silu menegur perbuatan kawannya, semata-mata kerana takut Allah marah. Mereka yakin ada pencipta. Hebat!
Baru diuar-uarkan PASTI akan terus komited menyediakan kokurikulum lanjutan dalam modul pendidikan Islam dan akademik selama 30 minggu untuk anak-anak PASTI. Menariknya, mereka yang telah berada di tahap satu akan dipanggil semula untuk ikuti sesi ini.
Lagi menarik, kurikulum yang dikenai sebagai Kaafah ini menerapkan konsep usrah kepada anak-anak seawal usia tujuh tahun. Menarik kan? Kecil-kecil dah kenal Usrah. Mudah-mudahan kelak menjadi pembimbing Ummah!
Apa pun, artikel ini bukan bersifat promosi, namun sekadar pernyataan realiti. Yang baik kita sama-sama kongsi, yang buruk sama-sama kita tolak tepi.
Dan sekar makluman Sambutan PASTI peringkat Nasional diadakan 30 dan 31 Oktober ini bertempat di Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV. Yang berkesempatan dijemput ke sana.
.jpg)
0 comments:
Post a Comment